top of page
pattern mier big white.png
Writer's pictureMiER

Sinar Harian: Kenaikan harga barang hingga 2023


SHAH ALAM- Penganalisis meramalkan gelombang peningkatan harga barangan termasuk makanan di negara ini dijangka berterusan sehingga awal tahun hadapan.


Menurut mereka, ia berdasarkan jangkaan penyusutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perkembangan ekonomi global.


Penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Professor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, situasi penyusun KDNK yang dilihat menyumbang kepada kelemahan ringgit akan meningkatkan harga barangan khususnya makanan yang rantaian bekalannya bergantung kepada bahan import.


"Kebergantungan kita kepada sesetengah barangan import akan menyebabkan kos sara hidup tinggi.


"Ini memberi kesan, sebagai contoh kepada makanan ayam yang terpaksa diimport. Apabila kos makanan ayam tinggi, harga ayam mentah dan telur meningkat di pasaran tempatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.


Ahmed Razman berkata, disebabkan itu, kadar peningkatan harga makanan bulanan dijangka terus kekal tinggi melebihi lima peratus bermula separuh kedua tahun 2022.


Selain itu, katanya, pembukaan semula ekonomi di China selepas berakhirnya pelaksanaan 'lockdown' turut menyumbang kepada berlakunya peningkatan harga barangan sehingga awal tahun hadapan.


"Pembukaan semula ekonomi China dijangka bermula pada suku tahun ketiga dan keempat 2022. Apabila ini berlaku, penduduk China akan mula berbelanja. Ini akan menyebabkan harga barangan makanan kekal tinggi," ujarnya.


Mengenai kesan penyusutan KDNK pada separuh kedua tahun ini, Ahmed Razman berkata, meskipun pasaran pekerjaan dijangka terus stabil, situasi itu dijangka mengganggu pemulihan pertumbuhan pendapatan dalam kalangan pekerja di Malaysia.


"Penyusutan KDNK negara itu antaranya disebabkan faktor dalaman seperti jangkaan peningkatan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan ketidaktentuan politik global," katanya.


Ketua Penyelidik di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar pula berkata, tekanan kos sara hidup bukan sahaja membabitkan makanan asas tetapi pembayaran pinjaman aset seperti kenderaan dan rumah.


Beliau berkata, situasi ketidaktentuan harga barangan itu dijangka berlarutan sehingga tahun 2023 meskipun terdapat pihak optimis ia akan kembali reda sekurang-kurangnya pada akhir tahun ini.


Katanya, ini disebabkan selain krisi perang Ukraine-Rusia, potensi kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada tahun hadapan juga antara faktor menyebabkan ketidaktentuan harga barangan tersebut.


"Ekonomi AS itu besar, jadi kesannya akan dirasai seluruh dunia. Kalau permintaan dari AS kurang, ia akan beri kesan kepada jumlah eksport Malaysia, secara tidak langsung menjejaskan KDNK negara," ujarnya.


Bagi menangani isu tersebut, Shankaran berkata, sebagai langkah jangka pendek, kerajaan perlu meneruskan pemberian subsidi barangan tertentu kepada rakyat bagi mengurangkan tekanan perbelanjaan rakyat.


"Umtuk langkah jangka panjang, kerajaan mesti meningkatkan pengeluaran dan penawaran bahan makanan di dalam negara termasuk dengan cara menggunakan diplomasi makanan bersam negara tertentu," jelasnya.

 

The article was originally published at

Bình luận


bottom of page