top of page
pattern mier big white.png
Writer's pictureMiER

Sabah, Sarawak perlu realistik, elak sejarah MYAirline berulang, kata ahli ekonomi

Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata, daya maju kewangan perlu dipertimbangkan dengan teliti.

MYAirline mengumumkan penggantungan operasi serta-merta akibat ‘cabaran kewangan yang signifikan’ pada Khamis. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi berkata kerajaan Sabah dan Sarawak perlu bersikap lebih realistik dalam hasrat memiliki syarikat penerbangan sendiri bagi mengelakkan sejarah penggantungan operasi MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) berulang.


Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata, daya maju kewangan perlu dipertimbangkan dengan teliti.


“Mungkin lebih masuk akal untuk memperoleh lebih banyak kepentingan dalam syarikat yang ada dan mempunyai syarikat cabang (anak syarikat) yang menyediakan perkhidmatan dengan ciri-ciri tempatan yang melayani negeri-negeri,” katanya kepada FMT.


Beliau berkata, penggantungan operasi MYAirline secara mengejut mendatangkan kesulitan kepada penumpang dan mungkin memberi tanggapan negatif dalam kalangan warga asing.


Kelmarin, MYAirline menggantung operasinya serta-merta akibat “cabaran kewangan yang signifikan” selepas syarikat penerbangan tambang murah itu “meneroka semua jalan perkongsian berpotensi dan penjanaan modal” untuk menyelamatkan perniagaannya.


Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kira-kira 125,000 penumpang terjejas dan mengakibatkan kerugian RM20 juta berdasarkan jualan tiket sehingga Mac tahun depan.


Julai lalu, kerajaan Sarawak memeterai memorandum persefahaman dengan Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk MASwings Sdn Bhd bagi membincangkan pengambilalihan syarikat penerbangan itu.


Ogos lalu, Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd, Kenny Chua dilaporkan berkata syarikat penerbangan milik Sabah dijangka beroperasi menjelang 2024.


Katanya, syarikat penerbangan baharu itu akan mengikut model perniagaan kos rendah untuk bersaing dengan pengendali sedia ada. Laluan sangat menguntungkan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu kini dikendalikan Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia dan MYAirline.


Perunding pengangkutan, Rosli Khan pula berpendapat lebih baik syarikat penerbangan Sabah dan Sarawak itu dimiliki kerajaan sepenuhnya berbanding sektor swasta.


“Ini akan dapat memberi jaminan yang tinggi terhadap modal, jaminan pembelian pesawat, tanggungjawab ke atas penumpang dan sebagainya.


“Operasi syarikat penerbangan milik swasta banyak berkisar tentang penjimatan kos, mengurangkan keselesaan terhadap penumpang dan cuba mendapatkan keuntungan yang tinggi atau pulangan secara segera dan maksimum,” katanya yang berpendapat syarikat penerbangan mungkin mengalami sedikit kerugian pada peringkat awal operasi.




 

The article was originally published at

Comentarios


bottom of page