top of page
pattern mier big white.png
Writer's pictureMiER

Pakar cadang wujud zon khas rancak aktiviti nadir bumi

Pakar ekonomi yakin zon khas akan memacu industri tempatan dalam pemprosesan unsur nadir bumi kepada komponen elektronik dan elektrik.

Pakar ekonomi menyarankan kerajaan menetapkan pengeluaran barangan sebagai matlamat apabila membuat keputusan berkaitan REE. (Gambar Freepik).


PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu zon khas untuk merancakkan aktiviti industri nadir bumi.


Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School yakin langkah itu akan memacu pembangunan industri tempatan, dalam pemprosesan unsur nadir bumi kepada komponen elektronik dan elektrik.


“Kewujudan zon khas ini harus melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan,” katanya kepada FMT.


Razman juga menyarankan dasar kerajaan ditambah baik bagi memudahkan pemindahan teknologi serta pembelian peralatan dan mesin khas bagi industri tersebut.


“Kita masih belum cukup kepakaran sumber manusia dan teknologi yang sesuai untuk menghasilkan komponen akhir nadir bumi ini. Kita masih memerlukan kepakaran luar,” katanya.


Sementara itu, Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata keputusan berkaitan unsur nadir bumi harus didekati secara berhati-hati biarpun ada manfaat yang ketara dalam meningkatkan pendapatan negara.


“Pertama, kita harus memastikan bahawa faktor persekitaran dipertimbangkan sepenuhnya dan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang menyeluruh dilakukan.


“Kedua, kita mesti memastikan bahawa kita tidak akan berada di peringkat terbawah rantaian pengeluaran. Jika tidak, kita tidak akan dapat mengambil bahagian dalam aspek proses pengeluaran yang lebih kompleks dari segi kepakaran teknikal,” katanya.


Nambiar menyarankan kerajaan menetapkan matlamat yang melampaui pengekstrakan, sebaliknya terlibat dalam pengeluaran barangan berkaitan.


“Sekiranya kita dapat mencapai proses dengan nilai tambah yang lebih tinggi maka kita akan meningkatkan kekompleksan ekonomi kita, serta membolehkan kita betul-betul memanfaatkan pelaburan.”


Terdahulu, Pengarah Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber Yusri Mohd Yunus di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dilapor berkata Malaysia memiliki tiga unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang dianggarkan sebanyak 16.1 juta tan metrik, dengan nilai komersial hampir RM1 trilion.


Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 mengumumkan kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah NR-REE bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber.

 

The article was originally published at

Comments


bottom of page