top of page
pattern mier big white.png
Writer's pictureMiER

Malaysia bincang kerjasama dengan Elon Musk, SpaceX bantu capaian akses internet

Perbincangan 25 minit secara maya antara Perdana Menteri dan Elon Musk turut meliputi penubuhan pejabat Tesla di Cyberjaya.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semasa perbincangan secara maya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk dan Pengarah Kanan Operasi Perniagaan Starlink SpaceX, Lauren Dreyer, yang dirakam di Putrajaya, 14 Julai, 2023.


Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat berkata beliau telah menjemput SpaceX, syarikat milik Elon Musk yang menyediakan perkhidmatan satelit Starlink untuk membantu dalam meningkatkan capaian internet yang lebih laju dan boleh di akses di kawasan pendalaman dan luar bandar negara itu.

Anwar dan Musk turut berbincang tentang pelaburan pembuat kereta elektrik (EV) milik jutawan itu, Tesla, di Malaysia dalam sesi secara maya selama 25 minit.

Tesla pada awal tahun ini telah mengumumkan pelaburan untuk membina pusat servis serta rangkaian pengecas bagi kereta elektriknya di Malaysia, langkah yang menurut Anwar akan membuka puluhan ribu peluang pekerjaan kepada rakyat negara itu.

“Saya mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk untuk datang ke Malaysia.

"Kami turut berbincang berkenaan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.

"Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan," kata Anwar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya selepas sesi pertemuan maya itu.

Persidangan video antara Anwar dengan Musk yang juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc itu turut disertai Pengarah Kanan Operasi Perniagaan Starlink, SpaceX Lauren Dreyer, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Ketika ditemui media semasa satu acara lain pada hari yang sama, Anwar memberitahu pemberita bahawa Musk telah menyatakan kesediaan untuk SpaceX memberikan keutamaan kepada Malaysia bagi mendapatkan khidmat Starlink.

Selain itu, Perdana Menteri juga berkata, kedua mereka juga turut membincangkan mengenai isu peningkatan teknologi kenderaan elektrik di Malaysia dan Musk telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah pejabat di Cyberjaya.

"Starlink ini juga akan memberi ruang kepada semua kawasan luar bandar, sekolah, universiti untuk mendapat akses internet dengan cara yang murah. Walaupun 40 satelit disediakan awal, beliau beri pengakuan untuk memberi keutamaan kepada Malaysia," kata Anwar sambil menambah bahawa pelaburan SpaceX dan EV oleh syarikat diterajui Musk akan melibatkan puluhan ribu peluang kerja mahir.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata terdapat kira-kira 3 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia yang masih tidak mendapat capaian Internet disebabkan masalah keluasan tanah, selain beberapa isu lain.

“Masih ada 3 peratus kawasan berpenduduk yang tidak mempunyai akses internet....Kerjasama dengan Starlink dijangka dapat menyelesaikan masalah itu,” kata Fahmi.

Capaian internet

Sementara itu, beberapa pakar ekonomi dan teknologi komunikasi memuji perkembangan dan inisiatif terbaharu Kerajaan Persekutuan dalam menjalinkan kerjasama dengan SpaceX, khususnya khidmat satelit Starlink.

Shankaran Nambiar, felo penyelidikan kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata, perjanjian di antara Malaysia dengan SpaceX merupakan satu kejayaan besar oleh perdana menteri. "Ini adalah satu perjanjian yang signifikan. Ia akan dapat mencanakkan kebolehan teknologi Malaysia dan membawa negara maju ke hadapan.

"Bukan itu saja, peluang kerja baharu juga akan wujud untuk rakyat Malaysia dengan kehadiran Tesla di dalam negara. Selain itu, membawa Tesla masuk ke Malaysia juga akan menarik syarikat mega lain untuk turut melabur di negara ini," kata beliau kepada BenarNews.

Tharek Abd Rahman, Pengarah Pusat Komunikasi Tanpa Wayar di Universiti Teknologi Malaysia, berkata beliau yakin bahawa Malaysia akan mampu mencapai akses internet 100 peratus dengan penggunaan khidmat Starlink.

"Ini adalah satu perkembangan teknologi tanpa wayar yang amat baik untuk Malaysia. Satelit Starlink mengelilingi bumi di orbit rendah, yang mana membolehkannya untuk bergerak lebih pantas dan lebih hampir dengan bumi sekaligus mampu menyediakan capaian 100 peratus di seluruh negara.

"Pada masa ini, cabaran dalam menyediakan akses internet di kawasan pedalaman adalah disebabkan kos yang tinggi untuk membina stesen yang diperlukan untuk memberikan hubungan 4G atau 5G. Tetapi dengan satelit ini, ia akan dapat mencapai liputan yang lengkap," kata beliau kepada BenarNews.

Saaidal Razalli Azzuhri, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya turut berkongsi pandangan serupa dengan Tharek mengenai perkhidmatan Starlink.

Namun, menurut Saaidal, terdapat beberapa cabaran yang perlu diteliti oleh kerajaan, termasuk kos pemasangan peralatan yang tinggi dan kemungkinan perlu mengambil tenaga pakar dari luar yang sekaligus akan meningkatkan beban kewangan negara.

"Keduanya, mungkin akan terdapat cabaran dari segi pengawalan, termasuk isu berkaitan pelesenan, peruntukan spektrum, dan pematuhan undang-undang telekomunikasi sedia ada.

"Satu lagi perkara yang perlu dilihat ialah kemungkinan pencerobohan privasi maklumat, yang perlu diatasi bagi memastikan data peribadi dilindungi."

Selain dari pengukuhan internet, pakar klimatologi serta felo Akademi Sains Malaysia Fredolin Tangang pula berkata kedatangan Tesla ke Malaysia merupakan langkah yang baik untuk negara itu. “Ia menunjukkan usaha Malaysia untuk mencapai aspirasi negara karbon sifar dan mengurangkan kesan rumah hijau dengan penggunaan EV.

“Ia suatu usaha positif untuk memenuhi komitmen di bawah Perjanjian Paris dan negara karbon sifar menjelang 2050. Namun, untuk menunjukkan perkembangan yang lebih signifikan, kita harus memberikan fokus untuk meningkatkan pengeluaran tenaga yang boleh diperbaharui.

“Jika punca tenaga kita masih datang dari bahan api fosil, ia akan menghadkan impak usaha mengurangkan pengeluaran karbon termasuk pengunaan tenaga elektrik untuk mengecas EV,” katanya kepada BenarNews.

Malaysia dalam rangka untuk membangunkan ekosistem EV telah menawarkan pemotongan cukai dalam menarik minat pelabur, dengan ia merupakan sebahagian dari misi negara itu untuk memenuhi matlamat pengeluaran karbon sifar menjelang 2050.

Selain itu, Putrajaya juga mensasarkan peningkatan penggunaan EV termasuk hybrid sekitar 15 peratus dari keseluruhan industri permotoran negara menjelang 2030.

 

The article was originally published at

Comments


bottom of page