FMT: Tangguh projek: Masa mencabar perlu keputusan mencabar, kata pakar ekonomi
Langkah kerajaan menangguhkan atau tidak meneruskan projek belum bermula disambut baik untuk penjimatan perbelanjaan awam, namun pakar ekonomi UPM Ahmed Razman berpendapat ia tidak membawa impak besar dari segi penjimatan.
PETALING JAYA: Langkah kerajaan menangguhkan atau tidak meneruskan projek yang belum bermula menimbulkan pandangan berbeza daripada pakar ekonomi.
Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyifatkan penangguhan atau pembatalan projek tertentu yang belum bermula sebagai langkah perlu.
“Masa yang mencabar memerlukan keputusan yang mencabar, dan ini adalah salah satu daripadanya. Terdapat beberapa faktor mendorong kepada keputusan menteri berkenaan.
“Pertama, mereka ingin mengutamakan semula projek kerajaan. Kedua, mungkin untuk memastikan perbelanjaan terkawal dalam jangka pendek ini, dan ketiga, mungkin kerajaan ingin memantau keadaan fiskal semasa secara menyeluruh,” katanya ketika kepada FMT.
Beliau berkata, langkah itu mungkin mencerminkan kecenderungan kerajaan bagi memastikan keadaan fiskal dapat bertahan lama sebelum memulakan projek tersebut, dan secara langsung mengelak risiko tunggakan hutang yang tinggi.
“Ini memperlihatkan menteri sememangnya ingin memastikan kesejahteraan rakyat dilindungi sebaik-baiknya dalam jangka pendek, bukan semata-mata meneruskan projek yang hanya dapat melihat kesannya bagi jangka lama,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Putra Business School, Ahmed Razman menyambut baik langkah kerajaan sebagai penjimatan perbelanjaan awam, namun berpendapat ia tidak membawa impak besar dari segi penjimatan.
“Kita mahu tahu juga berapa banyak penjimatan yang akan diperoleh kerana unjuran perbelanjaan pembangunan bagi tahun 2022 adalah sekitar RM77.6 billion. Daripada jumlah itu, berapa banyak yang dibelanjakan dan berapa bakinya.
“Jika kerajaan telah membelanjakan RM77 billion dan bakinya hanya RM600 juta, maka impak daripada langkah ini mungkin agak minimum,” katanya.
Beliau mengakui ingin melihat kuantum penjimatan tersebut memandangkan unjuran subsidi bagi 2022 adalah sebanyak RM31 billion.
“(Jadi) apabila kerajaan menjangkakan subsidi tahun ini bakal berjumlah RM77.7 billion, peningkatan sebanyak RM46.7 billion itu adalah satu jumlah yang besar.
“Sudah tentu ia akan mengurangkan beban kerajaan untuk menampung kenaikan RM46.7 bilion bagi maksud subsidi tersebut sekiranya penjimatan dari langkah tersebut melibatkan jumlah berbilion ringgit,” katanya.
Jumaat lalu media melaporkan kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia untuk melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan.
Kerajaan mengambil langkah menangguhkan atau tidak meneruskan projek yang belum bermula sebagai langkah penjimatan perbelanjaan awam bagi membolehkan dana disalurkan untuk kesejahteraan rakyat, selaras arahan dikeluarkan menerusi pekeliling itu.
The article was originally published at
Comentários