top of page
pattern mier big white.png
Writer's pictureMiER

Cagar ‘sijil simpanan KWSP’ satu cara laksana idea PM, kata pakar

KWSP berkata, ia sedang menilai dan memperinci kaedah bagi melaksanakan kemudahan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 sebagai sokongan.

 

KWSP berkata jumlah simpanan rendah disebabkan pencarum mempunyai gaji permulaan rendah sebelum pelaksanaan gaji minimum pada 2013.


PETALING JAYA: Seorang pakar kewangan berkata, satu cara menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran adalah menerusi pengeluaran “sijil simpanan”, untuk pencarum beri kepada bank yang akan menyimpannya sebagai cagaran.


Izlin Ismail daripada Universiti Malaya berkata, bank akan sukar menerima simpanan KWSP sebagai cagaran sekiranya hutang tidak dapat dilunaskan.


“Dalam hal ini, pihak bank hanya boleh menyita simpanan KWSP hanya selepas ianya dikeluarkan (oleh pencarum),” katanya kepada FMT.


KWSP membenarkan pengeluaran sebahagian atau keseluruhan daripada Akaun 2 apabila pencarum mencapai usia 50 tahun, pengeluaran semua atau sebahagian daripada Akaun 55 pada usia 55 tahun, dan sekaligus atau sebahagian pada usia 60 tahun. Ini di samping pengeluaran untuk perumahan, pendidikan, ibadah haji, kesihatan, hilang upaya, dan kematian.


Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata, beliau difahamkan tiada sebarang halangan untuk melaksanakan cadangan membolehkan pencarum KWSP menggunakan simpanan sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan, dan kaedah tersebut tidak melanggar Akta KWSP.


KWSP dalam kenyataan berkata, ia sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan “penggunaan baki caruman dalam Akaun 2” sebagai “sokongan untuk membuat pinjaman peribadi”.


Shankaran Nambiar daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) percaya cadangan itu akan meletakkan golongan rentan dalam kedudukan berisiko, dan menyeru penyelesaian yang lebih holistik.


“Kebanyakan pencarum yang terdesak ingin mengeluarkan duit kerana ingin bina semula rumah akibat banjir, untuk perbelanjaan hospital dan sebagainya. Masalah ini hanya boleh diselesaikan sekiranya terdapat jaringan keselamatan sosial dan pembiayaan penjagaan kesihatan,” katanya kepada FMT.


Beliau juga menggesa kerajaan mempertimbangkan pendapatan minimum selepas persaraan bagi golongan tidak berpencen.


“Berbanding memperkenalkan penyelesaian cagaran, kerajaan perlu melihat kepada penyelesaian ad hoc,” tambahnya.


Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School berkata, urusan berhutang akan dipermudah sekiranya kerajaan membenarkan simpanan KWSP dijadikan cagaran, namun ia akan menambah beban hutang isi rumah yang sudah menghampiri 90% daripada KDNK.


Katanya kepada FMT, beban hutang isi rumah di Malaysia “antara yang tertinggi di Asia Tenggara.”


Ahmad menyarankan rakyat yang terdesak dibantu dengan pembiayaan yang tidak melibatkan riba, seperti kaedah Qardh al-Hasan (pinjaman ihsan) yang mana hutang diberi dan dibayar dengan jumlah yang sama.


“Pinjaman Qardh al-Hasan boleh menjadi inisiatif yang mampan jika konsep hibah disekalikan dengan pinjaman ini,” tambahnya.

 

The article was originally published at:



Comentários


bottom of page