Berita Harian: Petunjuk jelas pemulihan ekonomi bentuk 'V' - MIER
(Gambar fail) Pemandangan di sekitar KLCC, Kuala Lumpur. - NSTP/ASWADI ALIAS.
KUALA LUMPUR: Terdapat petunjuk jelas pemulihan drastik ekonomi iaitu pertumbuhan berbentuk 'V' khususnya berlandaskan beberapa aspek termasuk permintaan agregat domestik yang berkembang merangkumi pelaburan dan penggunaan swasta, demikian mengikut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Susulan itu, ia mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada tahun hadapan berbanding jangkaan 4.0 peratus pada tahun ini.
"Isyarat jelas juga dapat dilihat menerusi aspek pertumbuhan kukuh berterusan dalam eksport barangan dan perkhidmatan, peningkatan rizab antarabangsa bersih Bank Negara Malaysia (BNM) dan kenaikan aliran pelaburan dan portfolio pelaburan oleh pelabur asing.
"Dengan pembukaan semula sempadan antara negeri berikutan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang diuruskan dengan baik, pertumbuhan KDNK dijangka mengukuh antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus tahun depan, menunjukkan semua sumber telah digunakan terutama menjelang akhir tahun depan," katanya.
Baru-baru ini, ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) melaporkan ekonomi Malaysia dijangka pulih secara kukuh tahun depan dengan berkembang 6.7 peratus sejajar pemulihan serantau dan global.
Terdahulu, S&P Global Ratings (S&P) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 6.0 peratus tahun depan, 5.2 peratus pada 2023 dan 4.6 peratus pada 2024.
Dalam laporan sama, MIER turut mendedahkan, kadar inflasi secara meluas dijangka meningkat terutama disebabkan kenaikan harga komoditi global, penurunan nilai pertukaran ringgit, kenaikan kos perdagangan pertelingkahan berterusan dalam saluran pengedaran serta pemasaran.
"Gangguan berkaitan COVID-19, langkah berkaitan sekatan dan pembendungan pandemik oleh kerajaan yang sedang dilaksanakan juga akan mendorong jangkaan inflasi yang lebih meningkat," katanya.
Dalam aspek defisit fiskal, MIER berkata, apa yang membimbangkan adalah kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan yang dijangka berdepan defisit fiskal yang semakin meningkat.
Katanya, defisit fiskal kerajaan berada hampir 6.0 peratus daripada KDNK pada 2021 berbanding 6.2 peratus pada 2020 meskipun wujud jangkaan pemulihan dalam ekonomi keseluruhan tahun ini.
"Nisbah ini bagaimanapun masih di bawah paras tertinggi 6.5 peratus daripada KDNK yang dicatatkan pada 2009 ketika negara dilanda krisis ekonomi dan kewangan global," katanya.
Dari segi pasaran buruh, MIER berkata, ia kekal lemah bagi tempoh tujuh bulan tahun ini menunjukkan ia ketinggalan berbanding petunjuk lain terutama disebabkan peningkatan jumlah pemberhentian pekerja, kekosongan jawatan dan kadar penyertaan tenaga kerja (LFPR) yang lebih rendah.
"Kadar pengangguran keseluruhan meningkat kepada 4.8 peratus pada Julai 2021, melepasi nilai ambang pekerjaan penuh 4.0 peratus (Jun 2021: 4.8 peratus, Mei 2021: 4.5 peratus)," katanya.
Artikel asal boleh dicapai di https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/10/878812/petunjuk-jelas-pemulihan-ekonomi-bentuk-v-mier
Comentários